BAB 2: RUKUN PEMBAHAGIAN PUSAKA

Rukun-rukun pembahagian harta pusaka.
Jika salah satu rukun ini tidak ada maka pembahagian harta melalui faraid tidak boleh dilaksanakan.

1) Pewaris.
Pewaris adalah orang yang telah meninggal dunia. Tidak boleh menfaraidkan harta orang yang masih hidup. Orang yang masih hidup bebas membahagikan hartanya kepada siapa yang dikehendaki dengan syarat tidak berniat untuk menzalimi hak ahli warisnya.

2) Ahli waris.
Ahli waris adalah orang-orang yang mempunyai hak mendapat harta peninggalan pewaris. Ahli waris telah ditetap dalam hukum syarak dan tidak boleh dipertikaikan. Ahli waris tidak boleh menerima bahagian harta pewaris melalui wasiat pewaris. Ahli waris akan hilang haknya jika berlaku 2 perkara ini:-

  1. Ahli waris itu yang menyebabkan kematian pewaris samada dengan sengaja atau tidak, atau secara langsung atau tidak. Dari Hadith riwayat Tarmizi, Rasulullah saw bersabda, yang maksudnya; “Orang yang membunuh (pewaris) tidak mendapat harta pusakanya.”
  2. Ahli waris itu telah keluar dari Agama Islam. Dari Hadith riwayat Imam Ahmad, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud; “Orang kafir tidak boleh mewariskan harta kepada orang Islam dan orang Islam tidak boleh mewariskan harta kepada orang kafir.”

3) Harta pusaka yang akan dibahagikan.
Harta yang hendak dibahagikan mestilah hak mutlak pewaris dan bukan harta kepunyaan orang lain. Jika pewaris diketahui memiliki harta orang lain, maka harta itu tidak boleh difaraidkan kepada ahli waris dan wajib dipulangkan kepada yang empunya harta itu.

Sebelum harta pusaka itu dibahagikan secara faraid, harta pusaka pewaris itu hendaklah digunakan untuk perkara-perkara berikut ini:-

  1. Selesaikan urusan zakat harta pewaris yang belum dikeluarkan.
  2. Selesaikan keperluan urusan mayatnya.
  3. Selesaikan hutangnya samada hutang sesama manusia atau hutang kepada Allah seperti haji dan fidyah puasa.
  4. Selesaikan wasiat pewaris (tidak boleh lebih sepertiga dari harta pusaka itu).

Setelah perkara-perkara di atas ini diselesaikan, baharulah pembahagian harta secara faraid boleh dijalankan.

Syarat-syarat pembahagian harta pusaka.
Pembahagian harta pusaka hanya sah apabila ada 3 syarat ini:-

1) Matinya si pewaris telah disahkan dengan yakin.
Harta orang yang belum disahkan kematiannya tidak boleh difaraidkan. Jika seorang itu kemalangan dan jasadnya tidak ditemui (contoh tenggelam di lautan), maka hartanya hanya boleh dibahagikan kepada ahli waris setelah mendapat pengesahan kematiannya dari pihak yang berwajib.

2) Ahli waris masih hidup ketika matinya pewaris.
Jika ahli waris meninggal dunia terlebih dahulu dari pewaris maka hak ahli waris itu akan luput dan tidak boleh diganti dengan keturunan ahli waris berkenaan.

3) Mengetahui sebab pewarisan.
Seorang itu menjadi ahli waris disebabkan 2 perkara iaitu:-

  1. Kerana ikatan keturunan kekeluargaan seperti anak, adik-beradik, ibu-bapa, datuk-nenek dan sebagainya. Namun tidak semua ahli keluarga dari keturunan pewaris akan menjadi ahli waris yang berhak menerima harta pusakanya.
  2. Kerana ikatan pernikahan iaitu suami dan isteri sahaja. Mertua, menantu dan ipar-duai bukan ahli waris kepada pewaris.

Jenis-jenis pewarisan.
Setiap ahli waris akan menerima bahagian harta pusaka mengikut kedudukan mereka di dalam senarai ahli waris yang sah. Ada 3 jenis pewarisan (cara pembahagian) harta pusaka iaitu (mengikut urutan):-

1) Mengikut bahagian yang ditetapkan.
Bahagian yang telah ditetapkan adalah seperti setengah, sepertiga, seperempat dan sebagainya.

2) Asabah.
Erti asabah ialah ambil semua baki harta yang tinggal selepas dibahagikan mengikut bahagian yang ditetapkan. Jika baki harta itu banyak, banyaklah yang akan diperolehi oleh ahli waris asabah itu. Jika tiada lagi baki harta yang tinggal, maka ahli waris asabah tidak akan mendapat apa-apa bahagian.

3) Mahjub
Erti mahjub ialah terhalang dari mendapat harta warisan itu disebabkan adanya ahli waris lain yang lebih dekat kedudukannya kepada pewaris.

Cara pembahagian harta pusaka melalui hukum faraid ini adalah dari ketentuan Allah swt. Samada seorang ahli waris itu menerima harta warisan dengan bahagian yang telah ditetapkan atau menjadi asabah atau mahjub adalah dengan kehendak Allah Yang Maha Mengetahui dan wajiblah kita menerima ketentuan Allah dengan rasa keimanan dan reda.

BAB 1: ISTILAH-ISTILAH BERKAITAN ILMU FARAID

Pengertian Ilmu Faraid

Yang dikatakan Ilmu Faraid ialah cara pembahagi harta pusaka kepada ahli waris si mati yang berhak mengikut ketentuan-ketentuan Allah s.w.t di dalam al-Qur’anul Karim. Asal perkataan Faraid itu ialah pecahan daripada perkataan Faridhoh(Fardhun). Dan ia semakna dengan Mafrudhah, yakni bahagian yang telah dipastikan kadarnya. Dinamakan Faraid kerana saham-saham yang telah dipastikan kadarnya lebih banyak daripada saham-saham yang belum dipastikan kadarnya(iaitu Asabah)

Makna Harta atau Tirkah

Harta Pusaka atau Tirkah bermakna apa-apa yang ditinggalkan oleh seseorang setelah meninggal dunia, baik berupa harta benda atau hak-hak kebendaan yang dibenarkan oleh syariat untuk dipusakai oleh para ahli waris.

Hadith:

Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan suatu hak atau suatu harta, maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya setelah kematiannya.”

Dikira sebagai pusaka si mati adalah benda-benda tetap, benda-benda bergerak, hutang-hutang orang kepada si mati, diyah(wang pengganti qisas) yang dibayarkan kepadanya oleh si pembunuh, lantaran tindakan pembunuhan yang diampuni, benda-benda yang digadaikan oleh si mati, barang-barang yang ia telah beli masa hidupnya serta wangnya telah dibayar tetapi belum diterima barangnya, maskahwin yang belum diserahkan semasa hidup, rumah, tanah, wang tunai, wang C.P.F, saham-saham(shares), saham-saham amanah(Unit Trust), insurance yang dibolehkan oleh syarak

Makna Ahli Waris

Ahli waris ialah orang yang mewarisi harta peninggalan si mati kerana hubungan darah(nasab), perkahwinan atau perwalian dengan si mati.

Sumber Hukum Ilmu Faraid
a) Al-Qur’an

An-Nisaa: Ayat 7, 11, 12, 176

Al-Anfal: Ayat 75

Al-Ahzab: Ayat 6

b) Hadith

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak. Sesudah itu, sisanya untuk orang lelaki yang lebih utama.”
(Riwayat Bukhari-Muslim)